Personal tools
You are here: Home News OSS jimat RM32 juta kewangan negara

OSS jimat RM32 juta kewangan negara

by eyeoh last modified Nov 25, 2008 05:27 PM

PUTRAJAYA 5 Nov. - Pelaksanaan inisiatif Perisian Sumber Terbuka (OSS) oleh agensi dan jabatan kerajaan berjaya membantu menjimatkan kewangan negara sebanyak RM32 juta, termasuk penjimatan RM10 juta bagi projek perintis dan pelaksanaan OSS di 15 buah agensi sejak empat tahun lalu.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan berkata, ia merangkumi RM22 juta yang meliputi penggunaan perisian OPenOffice ke atas 10,682 komputer dan pengunaan 174 produk Pusat Kompetensi Sumber Terbuka (OSCC).

Selain itu, katanya, peningkatan penggunaan OSS mampu meningkatkan perkhidmatan teknologi komunikasi maklumat (ICT), sekali gus membangunkan industri ICT tempatan secara keseluruhan.

''Peningkatan ini mampu menyumbang kepada peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta membantu melonjakkan negara ke status negara maju dengan lebih cepat.

''Penggunaan OSS juga merupakan penyelesaian alternatif yang lebih kompetitif, saling beroperasi dan menjimatkan perbelanjaan pelaksanaan ICT," katanya pada perasmian Persidangan Perisian Sumber Terbuka Kerajaan Malaysia (MyGOSSCON) 2008 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Datuk Normah Md. Yusof.

Mohd. Sidek berkata, penggunaan OSS boleh dikembangkan bagi meningkatkan perkhidmatan ICT institusi pengajian tinggi awam dan swasta menerusi gabungan bersama sektor awam dan swasta.

Menurutnya, terdapat banyak peluang untuk pakar-pakar perisian tempatan menguasai pengetahuan teknikal serta lebih berinovasi dan kreatif melalui OSS.

Justeru, syarikat-syarikat industri kecil sederhana tempatan seharusnya melibatkan diri secara aktif dalam penggunaan OSS kerana ia mampu membantu meningkatkan kualiti perkhidmatan mereka.

Sementara itu, Mohd. Sidek mengingatkan agensi-agensi kerajaan supaya mengamalkan budaya berbelanja secara berhemat dengan menjadikan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai contoh.

Menurutnya, dalam kehidupan seharian Perdana Menteri turut mengamalkannya dengan memastikan lampu-lampu di kediamannya dipadamkan apabila tidak digunakan.

''Saya berharap kita juga boleh mencontohi perkara yang sama (seperti Perdana Menteri).

''Jabatan dan agensi kerajaan perlu berhati-hati dengan membelanjakan peruntukan secara berhemat, selaras dengan kedudukan ekonomi global yang kurang mantap pada ketika ini," katanya.

 

Source - http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1106&pub=utusan_malaysia&sec=Sains_%26_Teknologi&pg=st_05.htm&arc=hive

Document Actions